Tuesday, February 28

Dah Jumpa Allah?

Bismillahirrahamanirrahim..

***********
Dalam kepenatan minda mencerna segala pembacaan untuk diekspresikan atas lembaran kertas kosong, dalam kelelahan fizikal bertapa di meja belajar menghadap cahaya komputer riba selama berjam-jam tanpa henti, seorang sahabat lantas menegur;

"Wajahmu kusut sekali, kelihatan tidak bermaya. Berehatlah sebentar. Jangan kejam terhadap tubuh badanmu."

"Aku perlu siapkan tugasan ini secepat mungkin. Tidak boleh tidak, esok mesti siap sempurna."

"Ya, aku mengerti. Tapi..."



"Tiada tapi tapi... Tugasan ini sangat penting bagiku. Jika tidak diselesaikan dengan segera, musnah reputasi yang telah aku bina bertahun-tahun lamanya di sini. Bukan mudah mencapai apa yang telah aku miliki sekarang. Semuanya perlukan pengorbanan."

"Disiplin pun disiplin la, penting pun penting la. Tapi jangan lupa, ada yang lebih penting dari semua yang kau sebutkan tadi."

"Apa yang lebih penting dari tugasan yang bakal menentukan kegemilangan masa depanku? Cubalah kau mengerti. Aku sudah cukup kusut, jangan keruhkan lagi pemikiran dan perasaanku."

"Tidakkah kau mendengar azan berkumandang tadi? Apa yang lebih penting dari menyahut seruan azan tersebut? Hayya 'Alas Solah.. Hayya 'Alal Falah.. Marilah menuju solat, marilah menuju kejayaan. Kau mahu abaikan panggilan dari Allah hanya kerana reputasi di mata manusia? Bagaimana dengan reputasimu di hadapan Allah?! Sungguh, aku tidak mengerti dirimu. Jika kau kusut, leraikan ia dengan solat. Bukankah dengan solat kedamaian akan mengalir dalam jiwamu? Jangan kau mengambil enteng dengan hal ini, sahabatku."

"Maafkan aku... Aku betul-betul tertekan dan tidak tahu bagaimana ingin melampiaskan tekanan ini."

"Usah kau pohon maaf dariku. Sikit pun aku tidak terasa dengan kata-katamu itu. Cuma yang aku risaukan, Dia yang akan murka. Dia, yang kau belakangkan hanya kerana hal-hal duniawi itu. Dia, yang kau abaikan sebagai tempat mengadu yang paling utama. Pohonlah keampunan dari-Nya."

"Subhanallah.. Aku berdosa, Ya Allah. Ampuni hamba-Mu ini. Aku menyesal, Ya Allah."

"Insya Allah, taubatmu diterima. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

"Terima kasih, sahabatku. Tulus dari lubuk hatiku, terima kasih yang sebesar-besarnya kerana menyedarkan aku tika terleka."

"Sudah menjadi tanggungjawabku. Nanti, tika aku yang sesat, kau kembalikanlah aku ke pangkal jalan juga."

"Insya Allah.."

"Hah, dah jumpa Allah?"

"Oh ya, belum. Terima kasih sekali lagi kerana mengingatkan."

"Kasihmu aku terima, sahabatku.."


***********

Nota kaki: Indahnya persahabatan yang bersulamkan ketaqwaan, berlandaskan cinta yang SATU..kerana bila hati berpadu memuji Yang Satu, segalanya akan selari dan serasi.. <3

0 comments:

Post a Comment