Monday, August 15

|| Bicara Hati Yang Merindui ||

Doaku agar kau kan selalu bahagia,
Agar kau temui insan tulus menyayangimu..
Lepaskanlah diriku kerana kerelaanmu..
Bukan kerana dendam jua bukan kerana kau terpaksa..."


Bait-bait lagu itu masih menjadi igauan dalam hidupku. Masih sentiasa terngiang-ngiang peristiwa yang meragut senyumanku satu ketika dulu. Setiap kali terkenangkannya, kolam airmata ini tidak pernah serik untuk melimpah keluar. Bukan ku tak mencuba untuk menyekangnya, namun sudah penat sepasang tangan ini mengelap lelehan cecair jernih yang mengalir dari mata bundarku...

Petang itu, cuaca seolah-olah mengerti akan perasaan ini. Segalanya serba-serbi tak kena. Dalam keriuhan gelak tawa teman-teman, dapat ku rasakan kesunyian yang menikam kamar hatiku. Sakitnya bukan kepalang. Seolah-olah petanda kepada sesuatu kejadian buruk bakal berlaku. Setahuku, aku bukanlah seorang yang istimewa; dikurniakan pancaindera ke-6 yang mampu menjadi peramal. Namun, detik demi detik yang berlalu semakin mendera perasaan ini.

Seusai mengerjakan solat asar, aku bermunajjat sesungguhnya pada Yang Maha Agung; minta ditenangkan hati yang gundah ini. Kerana kegundahan yang melanda amat mengganggu konsentrasiku pada ulangkaji pelajaran. Seminggu lagi, aku bakal menghadapi salah satu ujian yang penting, yaitu percubaan SPM. Oleh sebab itu juga aku dipaksa oleh kedua-dua orang tuaku untuk tinggal di asrama walaupun jarak rumahku dari sekolah umpama "sekangkang kera". Siap sahaja telekung dilipat, kedengaran riuh-rendah suara teman-teman sebilik menyuruh mengangkat jemuran di ampaian kerana dijangka, langit akan memuntahkan isi perutnya bila-bila masa sahaja. Tanpa berlengah, aku menjengahkan wajahku memandang langit yang kelihatan seperti mahu runtuh. Amat menggerunkan.

Malam itu, kami agak lewat ke dewan utama untuk belajar kerana terpaksa berjalan menyusuri susur gajah bagi mengelak dari dibasahi hujan. Lagipun, masih ramai junior dan senior yang menapak di dewan itu tatkala kami sudah melabuhkan punggung di 'port' biasa kami. Jam besar dewan tepat menunjukkan kedudukan jarum pada angka 9. Bermakna, kami sudah lewat setengah jam dari yang sepatutnya. Mujurlah warden yang bertugas pada malam ini tidak kelihatan di mana-mana. Mungkin sedang lena dalam kehangatan selimut yang membungkus batang tubuh yang kedinginan dek hujan. Seperti biasa, suasana dewan amat membingitkan. Namanya sahaja tempat belajar, tetapi tak ubah seperti pasar borong. Lainlah jika warden terpacak kat meja makannya atau ada pengumuman dari pembesar suara, barulah isi dewan tersebut seolah-olah tidak berpenghuni.

Seperti mengerti apa yang bermain-main dalam fikiranku ini, tiba-tiba sistem pembesar suara berfungsi. Dan seperti yang dijangka, suasana bertukar menjadi sepi. Masing-masing kelihatan fokus untuk mendengar pengumuman yang bakal berkumandang.

"Perhatian kepada pelajar aspuri yang bernama ( hamba ALLAH ) dari bilik Cempaka, sila hadir ke pejabat warden sekarang juga kerana bapa anda sedang menunggu".

Seperti baru tersedar dari mimpi yang indah, aku dikejutkan temanku. Hairan, bukan jarang-jarang tetapi tidak pernah abah datang untuk menjengukku di asrama. Seperti ada sesuatu yang amat penting. Jika tidak, abahku pasti baru sembuh dari demam; rindu untuk bertemu mata dengan semua anak-anaknya. Aku segera berlalu mendapatkan abahku kerana tidak mahu lagi berperang dengan perasaan sendiri meneka perkara yang sebenar-benarnya.

Tiba di pintu pejabat warden, abahku bangkit dari kerusi yang didudukinya. Cikgu Insyirah juga bangkit lalu meninggalkan kami berdua sambil menyuruh aku bersabar. Reaksinya semakin menambah debaran di dadaku ini. Lalu tanpa berlengah lagi, aku bertanyakan apa sebenarnya yang terjadi. Abahku pula seperti ingin mendera perasaan ini. Diamnya menyimpan jutaan rahsia. Setelah dia kelihatan cukup kuat untuk berhadapan dengan kenyataan, dia menyeluk saku baju melayunya lalu mengeluarkan telefon bimbitku. Dia suakan kepadaku dengan isyarat mata menyuruh aku mengambilnya. Pabila sudah bertukar tangan, ku amati skrin telefon bimbitku. 32 mesej dan 11 panggilan yang tidak dijawab. Abahku menyuruh aku mebaca mesej yang pertama dalam peti masuk. Seperti lembu dicucuk hidungnya, aku menuruti kata abahku tanpa banyak soal.


MY DEAR...
SO SORRY COZ DIDN'T TELL U D TRUTH.
THIS IS NOT WHAT I WANT, N I KNOW U 2.
BUT, OUR FATE HAD DECIDED BY HIM.
WE CAN'T DO ANYTHING.
I'M SORRY COZ HURTING U N MAKE U CRY.
PLEZ, HAVE A HAPPY LIFE AFTER THIS.
I DON'T WANT 2 SEE UR TEARS ANYMORE.
PROMISE ME!!!
SALAM SAYANG UNTUK SELAMANYA...


Tanpa sedar, kolam mata ini sdah bertakung dan menunggu masa untuk melimpah keluar. Ku tatap wajah abah megharapkan penafiannya. Namun, sepatah ayat "sabarlah anakku" yang zahir dari bibirnya membuatkan aku menggelang kepala berkali-kali sambil menyeka airmata yang mula mengalir deras. Seperti orang yang sudah hilang akal waras, ku campakkan telefon bimbitku lalu berpaling dan berlari menuju ke bilikku tanpa menghiraukan teman-teman yang semestinya tertunggu-tunggu akan kehadiranku serta perasaan abah yang mungkin menganggapku anak yang biadap. Tiba di bilik, aku merebahkan badan ke katil tanpa membuka lampu. Bertemankan airmata, aku hanyut dalam duniaku sendiri...

Lenaku terganggu apabila sepasang telinga ini menangkap bunyi bising. Pabila mata dicelik sedikit demi sedikit, barulah ku sedar yang aku kini dikerumuni oleh teman-teman yang kelihatan terping-pinga melihat keadaanku. Seperti memahami kedukaan yang ku alami, mereka memelukku beramai-ramai lalu berkata "walau apa pun yang dah jadi, kami semua tetap disisimu, sahabatku..." Sekali lagi, kolam airmata ini melimpah keluar. Namun kali ini bukan kerana sedih ditinggalkan, tetapi terharu kerana punya teman-teman yang rela berkongsi suka dan duka bersama.

Keesokan harinya, aku didatangi oleh ibuku pula. Dia memujukku untuk pulang menenangkan hati dan fikiran di rumah. Mungkin bimbang akan kesihatanku, atau mungkin juga tidak mahu menyusahkan teman-teman yang lain. Setelah aku pertimbangkan tawaran dan ajakan ibuku itu, aku bersetuju untuk pulang ke rumah;  bukan untuk bercuti, tetapi untuk keluar terus. Aku tidak mahu mengganggu teman-teman yang lain bersiap-sedia untuk menduduki peperiksaan percubaan minggu depan.

Namun, keputusanku nyata mendapat tentangan dari mereka. Mereka mengatakan yang aku sengaja tidak ingin berkongsi kedukaan itu. Mereka menyatakan yang aku sengaja ingin mereka berdosa kerana tidak menjalankan tanggungjawab sebagai sahabat dengan baik. Lantaran itu, aku tiada pilihan lain selain menceritakan kepada mereka apa yang sebenarnya telah berlaku agar mereka tidak salah faham lagi. Belum sempat habis pun lagi apa yang ingin diceritakan, masing-masing sudahpun mengalirkan airmata. Tambahan lagi, aku disuruh berhenti dari berkata-kata lagi. Mereka sudah tidak sanggup mendengar kisah itu lagi. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mereka kini menyokong apa yang bakal ku lakukan. Mereka berpesan agar tabah menghadapi segala ujian-NYA.
"Kami sentiasa di belakangmu untuk menyokong dan memberi semangat yang kau perlukan...."

*******************************************

Aku berdiri tepat di hadapan pusara si dia. Si dia yang pernah mengajar aku erti sebuah kehidupan. Aku kini benar-benar pasrah, dia telah pergi meninggalkan aku buat selamanya.Pergi tanpa membenarkan aku memohon jutaan kemaafan atas segala salah lakuku padanya. Pergi tanpa memberi peluang untukku menyatakan yang aku belum bersedia kehilangannya. Siapa yang harus aku persalahkan? Namun, menangis airmata darah sekalipun si dia tetap telah meninggalkanku. Zahirnya, jasad kami hanya terpisah dek timbunan tanah pusaranya. Namun batinnya, kami telah dipisahkan oleh satu garis yang bernama KEMATIAN.

Setelah selesai menyedekahkan Yaasin kepadanya, aku terpaksa mengangkat kaki dari situ. Ku tahu, walau aku menunggu lama manapun disitu, dia tidak akan bangkit lagi untukku. Sebelum berpaling dari tempat dia bersemadi, hati ini membisikkan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. "Tungguku di syurga ALLAH" Hanya itu yang dapat hatiku tafsir buat masa itu.

Sebelum pulang ke tempat asalku, aku mengambil keputusan untuk menziarahi keluarganya yang turut pasti sama bersedih dengan perkara yang menimpa anak bongsu mereka itu. Di sana, aku di sambut mesra oleh ibunya. Senyuman diukir dengan sesempurna mungkin. Namun, dari redup matanya aku dapat membaca kesayuan dan kepiluan yang dialami akibat sebuah kehilangan.  Setelah bercerita serba sedikit tentang peristwa yang berlaku sebelum kepergian si dia, ibunya meminta diri sebentar. Sejurus kemudian, dia keluar bersama sebuah buku atau lebih kelihatan seperti diari. Seperti yang sudah ku jangka, diari itu disuakan kepadaku.

"Inilah wasiat terakhir arwah kepadamu. Cubalah untuk memenuhinya kerana wasiat seseorang bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Maafkan anak mak cik kerana menyusahkan anak. Mak cik doakan anak tabah menghadapi semua ini."

*******************************************


  • Kenapa dah lama tak hantar khabar? Sibuk sangat ke sekarang?
Ye...exam kan dah dekat. Buzy la study ngan kawan-kawan. Lagipun susah la nak call, malas nak cari duit syiling.
  • Owww, xpe la kalau macam tu. Awak sihat?
Hurm, macam ni la awak. Ok jew, masih sihat dan waras lagi.
  • Awak ada masalah ke? You sound different.
Different? What do you mean by saying that?
  • Nothing. But, do you have any problem?
Hurm, biasa la...manusia yang tak normal je yang xde masalah, kan?
  • Ye la...kalau awak ada masalah, cerita la kat saya. Mana tahu saya boleh tolong ke..
So k. I can handle it myself.
  • Alaaa, pe salahnye kalau awak cerita pun. Tak rugi apa-apa pun. Come on la..
Tak faham ke? I said it's okay, it's okay la. Tak payah nak banyak-banyak tanya. Kata nak kurangkan masalah, lagi tambah masalah ada la macam ni.
  • Sorry, sorry my dear. Didn't mean it. Really sorry.
Dah la, xde mood dah nak cakap. Nanti kalau ada masa kita borak-borak lagi. Minggu depan mungkin tak balik rumah. Study kat asrama dengan kawan-kawan. Handphone pun tak bawa kot. Nak fokus.
  • As you wish, dear.
Ni nape jiwang semacam je ni? Macam dah tak jumpa dah lepas ni. Saya nak gi asrama je, bukannye nak nak mati dah.
  • Isyk, ke situ pulak. Tapi mati tak tak ketuk pintu dulu sebelum datang tahu tak. Dia juga tak minta izin.
Hurm, dah la tu awak, jangan nak merapu. Saya ada kerja ni, chow dulu ek.
  • Eh, kejap la awak. Saya nak tanya soalan ni, saya nak awak dengan jujur.
Pe dia lagi?
  • Hurm, jangan gelak tau. Saya tanya betul-betul ni. Awak sayangkan saya tak?
Apa kejadah punya soalan ni?? Awak ni boleh tak jangan nak main-main malam-malam macam ni? Saya dah la tengah tension ni. Jangan la nak tambah pening kepala ni. Kalau nak manja-manja pun tengok keadaan la.
  • Please, dear. I really want to hear from your voice. And maybe this is the last time.
Eiiiiy, menyusahkan orang betul. Lain kali je la. Macam la malam ni nak pergi berperang.
  • Whatever you want to say, I accept it. But please, say it whether you love me or not?
Kalau macam ni la perangai awak, I'll say NO! I didn't love you at all.
  • Please dear, be serious.
Yes, I am! I doesn't love someone who does not understand me. Puas??
  • Hurm, it's okay la. I hope that's just a joke. Just want you to know that I love you. A lot...
Whatever...
  • Okay la, take care of yourself. If you have any problem, share with others that you can trust. SALAM SAYANG UNTUK SELAMANYA...
Ye.. tahu la..
  • Assalamualaikum.

*******************************************

Pulang sahaja dari rumah saudaraku yang merupakan tanah aku membesar bersama si dia, aku merasakan kesediahan yang teramat sangat. Melalui apa yang diceritakan oleh ibunya, si dia mula jatuh sakit ( demam panas ) seminggu sebelum ajalnya tiba. Bermakna, beberapa hari selepas "perang besar" meletus antara kami berdua. Perasaan bersalah semakin menebal dalam diriku ini. Adakah aku penyebab kematiannya??

Kuselak helaian-helaian yang mengandungi coretan insan yang baru kini ku sedar telah bertakhta di dalam hatiku. Dairi itu ditulis 40 hari sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bermakna, dia seolah-olah telah dapat merasakan yang ajalnya bakal bertamu tidak lama selepas itu.  Setiap helaian yang ku lewati pasti menambahkan rasa pedih di hatiku. Sesalan yang menggunung amat mengesakkan dadaku. Terasa seperti diri ini terlalu kejam. Aku juga tidak sedar yang aku telah berubah menjadi seorang yang aku sendiri tidak kenali. Benarlah kata pepatah, "cermin dapat menunjukkan imej luaran kita yang sebenar, dan sahabat pula dapat menunjukkan imej dalaman kita yang sebenar-benarnya."

Dalam keadaan paksa rela, aku terpaksa akur jua untuk memenuhi permintaan terakhir si dia. Segala tanda kenangan bersamanya terpaksa di hapuskan dari muka bumi ini termasuklah diari yang dipinjamkan sementara itu. Genap 40 hari selepas kepergiannya, sekali lagi aku terpaksa memendam rasa kerana kehilangan banyak barang yang menjadi peneman lenaku selama lebih sepurnama ini. Dengan tanganku sendiri, aku menyalakan api lalu melemparkan ke arah semua "tanda kasih sayang" kami. Dengan terhapusnya semua tanda itu, maka bermulalah sebuah kehidupan tanpa si dia...

*******************************************

Kini, aku berada di puncak menara gading. Aku berjaya menangani segala badai yang melanda. Aku punya masa depan yang terjamin. InsyaALLAH, beberapa tahun lagi aku akan bergelar seorang pendidik. Kerjaya yang sama-sama kita impikan suatu ketika dulu. Walaupun engkau telah tiada di sisiku, engkau masih hidup bagiku. Hidup dihatiku, insyaALLAH buat selama-lamanya. Terima kasih kerana telah mengajar aku untuk bangkit semula setelah aku jatuh. Terima kasih kerana menjadi salah satu penyumbang kejayaanku. Terima kasih untuk segala-galanya. Bahagialah dikau di sana..
SALAM SAYANG UNTUK SELAMANYA...



Nukilan Jemari Berjiwa Kasih,
[0000][15082010]

p/s : Hargailah apa yang kau miliki kini.. kerana nanti, kau mungkin akan kehilangannya.. tanpa rela..


0 comments:

Post a Comment